Showing posts with label Dilema individu. Show all posts
Showing posts with label Dilema individu. Show all posts

Antara Dilema Individu

Alhamdulillah syukur pada kali ini, penulis rasakan sudah lama tidak ditulis sesuatu penulisan yang lebih berbentuk santai, seperti penceritaan. Kali ini, ingin sekali untuk diri menceritakan beberapa pengalaman dari beberapa dilema yang dihadapi oleh individu-individu yang mungkin juga dialami oleh pembaca-pembaca artikel ini. Ini bukanlah untuk menunjukkan ianya seperti luahan ‘syok sendiri’. Namun, ianya dilihat penulis amat melegakan jika permasalahan ini dirungkai dan dikongsi bersama. Walaupun tiada hujah dari mereka yang pakar (nota kaki), tetapi menurut penulis pengalaman beberapa individu sememangnya sudah cukup untuk membuatkan ianya benar-benar terjadi (realiti).

Perkara pertama ialah seringkali kita merasakan sesuatu itu baik untuk kita, maka kita cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Sedangkan ianya bukanlah baik dari sudut pandangan Allah, maka hal itu walau bagaimanapun usaha diri dilakukan, tetap tidak akan terjadi jika tidak dikehendaki-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 ; “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Ada di kalangan individu yang dilihat cukup mendesak untuk diberikan petunjuk oleh Allah (melalui istikharah), tetapi keadaannya pada masa sekarang, masih tidak ada (mempunyai) jawapan. Ianya mungkin kerana, belum sampai masanya (seru). Oleh itu sentiasalah berfikir positif, agar diri tak terasa tertekan untuk mendapatkan jawapan. Janganlah memberatkan diri untuk mendapatkan ‘lampu hijau’ dari Pencipta.

Kedua, ada juga yang bila melihat kepada masyarakat sekeliling, maka akan membuatkan diri begitu terbeban dengan pelbagai gejala yang melanda masyarakat. Kadangkala, sehingga membuatkan diri bercelaru untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud. Memang sewajarnya bagi seorang khalifah yang bertanggungjawab memurnikan alam ini, perlu ada rasa tanggungjawab dalam diri. Namun, janganlah kerana permasalahan yang melanda masyarakat membuatkan diri seperti putus harapan untuk hidup, sehingga membuatkan diri untuk membunuh diri (jika tiada iman). Allahuakbar!

Ketiga, ada juga yang bila diri diuji dengan sesuatu ujian. Perasaan diri mulai merasa ragu akan kebenaran agama yang dianuti sekarang (Islam). Lebih malang lagi bagi mereka yang mengambil jalan singkat; murtad. Maha Suci Allah amatlah buruk tindakan ini. Sedangkan jika dilihat dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 214, ada dinyatakan “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.

Keempat, ada juga yang merasakan diri keseorangan (tanpa cinta). Cemburu bila melihat semua orang sudah ada yang berpunya (menurut persepsinya; orang bercinta, aku pun nak juga!). Lalu wujudlah di kalangan mereka ini, yang mula menyemai bibit-bibit cinta, menjalin perhubungan yang tidak sah dari sisi Syarak. Maka hasilnya, segala kemahuan pasangan didahulukan, biarpun maruah diri tergadai! Na ‘uzubillah! Cukup banyak kejadian ini berlaku pada masa kini. Jika tidak, masakan statistik ‘anak tanpa bapa’ meningkat sepertimana yang dilaporkan oleh media-media massa! Ada juga yang penulis lihat, antara pasangan yang belum mempunyai ikatan yang sah ini, berkongsi duit untuk membeli sesuatu, seperti kamera digital (yang harganya dalam RM 3000 lebih), malah kereta mahupun lainnya. Perkara ini jika dilihat daripada sudut agama, sememangnya tidak sepatutnya berlaku. Dari segi logiknya; cuba bayangkan sewaktu diri bercinta, sehingga satu masa, hubungan terputus di tengah jalan! Bagaimana perasaan diri? Mungkin ada yang kecewa, bahkan yang lebih pasti, ianya merugikan diri sendiri!

Penulis rasa tertarik untuk membawa mesej Syeikh Riyad Ouarzazi (seorang Imam di Kanada) kepada pemuda yang disampaikan beliau sewaktu JALSAH ILMIYYAH QURANIYYAH, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, baru-baru ini (29 Mac 2011).

4 mesej utama dinyatakan beliau; Pertama, Apa tujuan penciptaan diri? Kedua, Siapa kawan anda? Ketiga, Banggakah dengan agama, diri? Keempat, Taatkah kepada ibubapa?

Demikianlah pesanan yang penulis mampu kongsikan, moga ianya mendatangkan manfaat untuk diri kita semua. Bersama-sama kita membetulkan apa yang salah, menjauhkan diri dari segala perkara yang munkar dan tiada manfaat, InsyaAllah!

P/s: Diri ini bukanlah terbaik, tetapi cuba untuk menjadi terbaik!

Ya Allah, kami inginkan agar Engkau membimbing diri ini sentiasa ke arah hamba yang mendapat keredhaan-Mu!

Keliru dengan Program

Beberapa hari lepas (hujung minggu), jadual perjalanan program padat, malah ada yang bertembung. Kadangkala program berbentuk ilmiah agama, bertembung dengan 3 program yang berbentuk sama dengannya. Apa yang dilihat seolah-olah menunjukkan tiada waktu lain untuk sesuatu program dijalankan.

Fikirku, "Apakah kerana ingin menyambut, meraikan sesuatu sambutan, maka pelbagai program berbentuk ilmiah agama dijalankan?"
Jika demikianlah yang berlaku, ku takut ianya dilihat tidak bertepatan dengan galakan Syariat yang menggalakkan agar pelbagai aktiviti (kegiatan dakwah) dilakukan tanpa mengira waktu (tiada masa tertentu yang ditetapkan);
Firman Allah s.w.t.;
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah. (Ali-Imraan 3: 110)

Dalam ayat di atas dilihat seruan dakwah berbentuk umum, tiada ditentukan masa. Apa yang ku harapkan agar kegiatan dakwah tidak hanya tertumpu di waktu, hari, bulan tertentu, sebaliknya diteruskan selagi belum tibanya saat ; 'terbitnya matahari daripada Barat'.


Fuh, agak keliru juga beberapa hari lepas, mana satu program yang nak pergi, maklumlah setiap program ada 'daya penariknya' tersendiri, namun keputusan tetap perlu dilakukan dengan melihat kepada keutamaan. Terdetik juga dalam hati untuk melakukan 'pemboikotan' terhadap semua program kerana semuanya dilakukan dalam waktu yang hampir sama. Alhamdulillah hal itu tidak berlaku, kerana semestinya seseorang itu melihat kepada keutamaan sesuatu aktiviti sebelum mengikutinya.

Apa yang kuharapkan agar perancangan program perlulah sedaya upaya mengelakkan daripada berlakunya pertembungan dengan aktiviti lain, kerana hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi penglibatan yang kurang daripada peserta.

P/s: Kegiatan dakwah tidak seharusnya dibataskan dengan masa, malah ia perlu dilakukan masa demi masa.

Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan kegiatan dakwah terhadap agama-Mu.

Tajuk Tesis, Hentam?

Semester ini merupakan tahun terakhir bagiku, juga sahabat seperjuangan untuk menuntut di gedung perbukitan ilmu ini, InsyaAllah jika tak jadi ambil Master lagi buat ketika ini. Jadi semester ini, nak tak nak, kena buat Tesis bagi memenuhi syarat bergraduasi.

Hmm sesuatu yang ku tak berapa suka bilamana membincangkan berkaitan tesis ini, ada di kalangan kenalan rakan seperjuangan yang kelihatan seolah-olah ingin menyerang golongan tertentu. Bagiku mereka mungkin tak memahami apa tujuan yang sepatutnya penyelidikan itu dilakukan, iaitu untuk memperbetulkan apa yang salah dengan cara yang sepatutnya (ilmiah), bukan hanya mengkritik tanpa asal usul periksa, memberi faedah kepada diri sendiri juga untuk masyarakat.
Demi segulung ijazah, tesis perlu disiapkan segera!

Aduhai malangnya mereka yang terlalu mengikutkan kata hati mereka ini, yang seolah-olah tidak melihat hujah-hujah yang dikatakan oleh pihak yang kononnya dianggap musuh itu. Cuba lihat dalil mereka, apakah mereka lari daripada kelompok ahli sunnah atau tidak? Jika perkara yang menjadi perbincangan musuh mereka masih dikira sebagai mengikut manhaj ahli sunnah, rasanya tidaklah patut mereka menghentam dengan perasaan yang dikuasai oleh hawa nafsu kerana nanti akan membuatkan umat Islam lagi sukar untuk disatukan, yang akhirnya memberi keuntungan bagi musuh Islam.

Sepatutnya mereka perlu melihat kepada manhaj ulama, kerana metod yang digunakan ulama tidaklah sama antara kebanyakan mereka. (InsyaAllah akan dijelaskan pada masa akan datang).
Terkesan, terasa juga di hati apabila ustaz mencadangkan tajuk 'Kajian Solat Berjemaah di kalangan lelaki Muslim di surau mahupun masjid di sekitar kampus Bangi UKM dengan takhrij hadith Targhib dan Tarhib Solat Berjemaah'. Dengan mengambil kira aspek berapa ramai yang sembahyang berjemaah? Apakah pelajar Fakulti Pengajian Islam, Pendidikan Islam, al-Quran kesemuanya solat berjemaah? Berapa orang solat berjemaah di surau, masjid waktu Subuh, dikala ramai orang masih asyik dibuai kedinginan suasananya?

Hmm daripada tajuk tesis yang sedemikian rupa, mampu memberi banyak pengajaran bagi ramai golongan khasnya kepada penyelidik itu sendiri, kerana mereka dapat melihat betapa ramainya yang mempunyai ilmu, tapi tidak beramal dengannya! Fuh, mungkin juga terkena atas badan, diri penyelidik sendiri!

P/s: Jangan suka memburuk-burukkan golongan tertentu dengan cara yang tidak ilmiah!

Ya Allah permudahkanlah bagi kami untuk menyiapkan tugasan ilmiah ini, mudah-mudahan apa yang dibuat ini memberi faedah bukan sahaja untuk kami malah masyarakat juga agama-Mu.

Kasut, Stokin pun boleh curi ke?

Hmm di mana ku letak kasut ?

Alhamdulillah, sudah lepas dua peperiksaan yang berjaya kutempuhi. Kali ini, sekadar untuk merehatkan minda, entri yang dipublishkan tak penting pun. Ini hanya nak kisahkan kisah yang terjadi pada diri juga teman pada suatu masa dahulu.

Hendak dijadikan cerita, pada waktu malam sebelum peperiksaan bermula, barulah ku tersedar akan ketiadaan kasut hitam yang jarang-jarang sekali ku memakainya di hadapan bilik seperti kebiasaannya.

Setelah puas memikir, mengingat kembali di mana kali terakhir ku meletak dan memakainya, namun jawapan yang ku dapat penuh ketidakpastian (berbelah-bagi), tapi ku lebih merasakan mungkin kasut tu dah hilang agaknya.

Nak tak nak terpaksalah pakai kasut converse untuk masuk dewan peperiksaan, walaupun kebiasaannya hanya dipakaiku ketika bersukan dan waktu pulang ke kampung. Jika nak beli kasut, dah akhir semester dah sekarang ni! Serba salah pula bagiku untuk menyimpannya nanti (masalah stor), hmm tunggulah semester depan baru beli jika ada rezeki, InsyaAllah.

Nampaknya terpaksa pakai kasut converse juga untuk dewan exam !

Hmm teringat pula waktu di alam persekolahan suatu masa dahulu, dikala menjelangnya musim peperiksaan, pelbagai barang hilang; alat tulis mahupun pakaian termasuk juga duit. Hmm... mungkin mereka yang mengambilnya tiada, kurang duit, yang seterunsnya menyebabkan mereka bertindak sedemikian rupa atau mungkin juga mereka berniat hanya ingin 'meminjam'tapi tidak kena dengan caranya. Kalut juga sesiapa yang menjadi mangsa, khasnya bilamana di saat ingin ke dewan peperiksaan baru sahaja mereka menyedari ada kekurangan pada kelengkapan dirinya. Mujurlah kadangkala ada pengawas peperiksaan yang baik hati, memahami masalah yang dihadapi.

P/s: janganlah kerana tindakan yang dilakukan membuatkan orang lain menderita.

Ya Allah berikanlah kami kemudahan, jalan untuk menjawab segala persoalan yang termaktub dalam soalan peperiksaan agar kami mendapat kejayaan di dunia ini seterusnya di akhirat nanti.

Betul Ke?





Hmmm hari ni ketika sedang membaca buku sikit-sikit, terlintas dekat soalan, betul ke perempuan lebih suka dipanggil kakak, walaupun usia hanya berbeza sedikit, manakala lelaki lebih senang dipanggil dengan nama sahaja walaupun sudah jauh berbeza dari segi umurnya?

Ramai juga kenalan dalam ym suatu ketika dahulu (waktu itu sedang gila berchatting fuh lalai betul! Please don't try this at home! Sekarang ni Alhamdulillah dah tak kemaruk berborak kosong lagi). Ketika bersembang kosong, campur ilmiah sikit, saat ingin berkenalan, untuk panggil gelaran nama; bagi yang perempuan, lebih selesa dipanggil kakak walaupun jarak umur hanya 1,2 bulan juga beberapa hari sahaja. Manakala lelaki kelihatan lebih gemar menggunakan panggilan tertentu, nickname dari nama yang diberi ibubapa, rimas bila dipanggil 'abang'.

Hmmm mungkinkah dari ini juga, perempuan dilihat lebih gemar mempunyai adik angkat, manakala lelaki kurang berminat untuk menjadikan seseorang khasnya sesama jantina sebagai adik angkatnya?

Daripada analisa, pemerhatian yang diperolehi daripada pengalaman, dilihat seseorang perempuan suka untuk memberi perhatian kepada orang lain, tak kira samada kepada lelaki mahupun perempuan sendiri. Apakah ini menunjukkan seseorang perempuan itu tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya memerlukan seorang teman untuk dirinya dalam menempuhi ranjau hidup ini?Hmmm......

Apakah kerana perasaan kasih-sayang yang dimiliki seorang wanita melebihi perasaan sayang golongan lelaki, membuatkan mereka mencurahkan perasaan itu kepada orang lain ? Hmm....

Golongan lelaki pula kelihatan lebih gemar dipanggil 'abang' oleh seorang wanita. Betul ke? Hmmm cuba fikir-fikirkan. Kalau begitu, ianya kelihatan seperti pepatah "ada udang di sebalik batu", ada niat yang tersembunyi dalam dirinya! Hmmm... a'uzubillAhiminzalik.

Adakah bila seorang lelaki, ketikamana mereka dipanggil golongan sejantinanya dengan panggilan 'abang' khasnya ketika umurnya hanya beza beberapa bulan, membuatkan mereka rasa dirinya terlalu tua? Hmmm.. Tapi kalau perempuan bagaimana pula agaknya ya?Hmmm....

p/s: jika ingin memanggil seseorang, lihatlah bagaimana tindakbalasnya terhadap panggilan tersebut, jika kelihatan bagai 'ada udang di sebalik mee', fikirlah mengenai panggilan terhadapnya, mungkin anda perlu tukar panggilan tersebut!

Ya Allah berikanlah kami rasa kasihMu yang melimpah ruah, agar kami dapat memanfaatkan kasih sayang sebagaimana yang sepatutnya. Jauhkanlah kami dari menggunakan kasih sayang pada jalan yang salah.

Berpersonaltilah dengan Selayaknya Diri

Mmm... kelihatan bagaikan sudah menjadi gaya hidup masa kini masyarakat hidup berpesonalitikan orang lain atau istilah "muka belang".

Ramai di kalangan kita yang kelihatan seringkali terikut-ikutkan gaya personaliti orang lain, iaitu dengan cara ingin berlagak, tidak sedar kedudukan diri; walaupun pokai, miskin, tetap nak bergaya! kiranya terikut dengan istilah "hidup biar papa asal bergaya". Isk isk isk, tak patut, tak patut kan!

Kenapa hal ini berlaku? Salahkah berpersonaliti dengan selayaknya diri, iaitu bergaya dengan cara yang semampunya diri, tak usah terlalu terikut-ikutkan lagak orang kaya atau orang yang kelihatan agak selesa status kewangan ekonominya.

Kumerasa hairan bilamana melihatkan gejala ini terus berkembang. Hmm tercetus didalam fikiranku; apakah golongan ini tidak mensyukuri apa yang telah diberikan Ilahi kepada mereka sehinggakan mereka kelihatan mementingkan gaya, rela berlapar demi kelihatan bergaya, berlagak macho, kelihatan sweet, walaupun perut berkeroncong menyanyikan lagu kelaparan! (kreuk..kruk..krok) meminta diisi.

Ada juga di kalangan kita yang mana suka menggunakan barang orang, walaupun perkara itu bukanlah diperlukan sangat, sedangkan orang lain lebih memerlukan, namun disebabkan ingin kelihatan berpesonaliti berstatus tinggi, ranggi, mereka tetap mengenepikan keperluan orang lain demi sesuatu yang dikira 'kepuasan diri'.

Satu cerita yang agak menarik, membuatkan diriku teringat yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu, mungkin sehingga kini, yang mana kusendiri melihat seorang hamba Allah yang kelihatan bersederhana hidupnya, tak terlalu berzuhud, sentiasa mensyukuri, menghargai apa yang ada pada dirinya, dia kelihatan tidak suka meminjam sesuatu daripada orang lain (setakat pengetahuanku, juga pemerhatianku). Walaupun kelihatan agak sukar untuk dirinya melakukan sesuatu tanpa sesuatu yang boleh dipinjam, digunakan khidmatnya, namun dia tetap menggunakan apa yang ada pada dirinya sendiri.

Bila ditanya kenapa tak pinjam atau guna barang orang ? Katanya dia tidak suka pinjam dengan orang kerana baginya dia tidak suka terhutang budi, selagi ada usaha selain daripada gunakan barang orang selagi itulah dia mencari alternatif lain untuk mengelakkan pinjam, biar sewa daripada pinjam; jelasnya. Jelasnya lagi, sesuatu yang kita pakai, pinjam dari orang belum tentu dalam hati si pemberi pinjam itu redha, ikhlas nak memberi barangnya, khasnya bila kita tidak memberi bayaran, kerana memikirkan kos yang terjejas daripada hasil perkhidmatan pinjaman yang dibahagi mereka.

Hmmm begitulah kisah yang bagiku amat baik dicontohi diriku yang kadangkala masih tidak sedar akan status diri, yang kadangkala mahu sahaja dimiliki apa sahaja untuk mengelakkan diri dari agak tidak ketinggalan dalam perkembangan kemajuan moden.

P/s: seseorang yang sentiasa menghargai, mensyukuri apa yang ada pada diri adalah jauh lebih baik daripada orang yang tidak pandai, mahupun faham terhadap pemberian Ilahi ke atas diri.

Ya Allah kurniakanlah kepada kami sifat bersyukur, qanaah dengan segala pemberianMu ke atas kami, janganlah Engkau jadikan kami hamba yang suka meminta-minta yang menunjukkan diri kami tewas dengan godaan hawa nafsu kami Ya Rabbi.

Termakbulkah Doa?


Hmmm kadang-kadang timbul dalam fikiran kita, apakah apa yang kita pohonkan dari Ilahi dimakbulkanNya?

Ada di kalangan kita yang kadangkala merasa jemu untuk berdoa kerana pada pandangan mereka, doa mereka tidak pernah diperkenankan (uiks ye ke ni?, takkan kot!). Hal ini secara tidak langsung kadangkala akan menyebabkan keyakinan mereka kepada Ilahi tergugat! Nauzubillahiminzalik

Manusia kadangkala mereka tidak sedar, bahawasanya secara tersembunyi doa mereka telah diperkenankan! Kadangkala Allah menghapuskan sesuatu keburukan yang telah tercatat (qadha' dan qadar) yang buruk yang bakal tertimpa kepada diri seseorang.

Manusia juga kadangkala selalu inginkan sesuatu perkara yang menurut pandangannya adalah baik, namun di sisi Allah perkara itu adalah buruk, memberi kemudaratan kepada hambaNya itu. Disebabkan itu Allah menggantikan doa yang dipohon hambaNya itu dengan sesuatu yang lebih baik. (Tapi masih ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari hakikat ini! Sebaliknya mereka sudah berputus asa untuk memohon doa kepadaNya).

Allah telah berfirman dalam surah Ghaafir ayat 60 yang mafhumnya:

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.

Jika dilihat berpandukan firmanNya di atas maka dapatlah dilihat di sini bahawasanya Allah menyukai hamba-hambaNya yang memohon kepadaNya dan membenci orang yang sombong terhadapNya.

Namun perlu diingat juga kadangkala terdapat juga beberapa sebab yang menjadikan doa seseorang tidak dimustajab, diperkenankan Allah, khasnya bilamana individu tersebut mengingkari segala perintah dan membuat segala laranganNya.

Oleh itu sebagai hamba yang telah diciptakan olehNya kita perlu sentiasa mentaati segala perintah dan menjauhi segala laranganNya agar diri kita disayangi oleh Ilahi. Kita perlu juga melihat apakah yang dilakukan diri itu benar-benar tidak bercanggahan dengan syariat agama ataupun masih terdapat kekurangan dalam amalan kita seharian.

Harus diingat juga kadangkala Allah ingin menguji kita, samada apakah kita bersungguh-sungguh untuk memiliki sesuatu. Jika kita terus meminta itu menunjukkan kita benar-benar memerlukannya, namun jika tidak kita kelihatan tidak begitu mengharapkan dan mempunyai rasa ragu terhadap doa yang dipanjatkan kepada Ilahi.

p/s: Jangan sekali-kali berputus asa untuk berdoa memohon sesuatu yang baik dari Ilahi dan diri perlu meyakini yang Allah akan memperkenankan doa para hambaNya juga akan memperkanankan segala doa dengan cara yang terbaik untuk diri seseorang. Ingatlah Allah tidak akan memungkiri janjiNya!

Ya Allah perkenankanlah segala doa yang dipohon kami jika ianya di sisi Engaku ia adalah baik, tidak memberi kemudaratan kepada kami. Ya Allah berikanlah kami keyakinan yang teguh terhadapMu ya Rabbana.

Mengapa Terus Menghukum?

Satu permasalahan yang seringkali sukar untuk dirungkaikan yang berlaku dalam masyarakat masa kini adalah persepsi terhadap seseorang yang pernah melakukan kesalahan.

Ramai di kalangan kita yang seringkali melihat seorang pesalah itu akan dikekalkan status pesalahnya sehinggalah ke akhir hayatnya; seorang penjenayah akan sentiasa dianggap penjenayah, penjahat sehinggalah hujung nyawanya.

Mengapa agaknya sukar untuk masyarakat menerima golongan ini (bekas banduan, penagih) dalam kehidupan mereka. Sehinggakan kadangkala mereka yang keluar daripada penjara, pusat pemulihan akhlak ini kembali ke alam gelap (jenayah) mereka sebelum ini kerana persepsi masyarakat yang tidak berubah, memandang serong , menghukum mereka sebagai seorang penjahat.

Sepatutnya sebagai masyarakat yang baik, kita perlu memberi mereka peluang untuk menunjukkan perubahan sikap mereka ke arah yang lebih baik, meningkatkan peningkatan kendiri ke arah yang lebih tinggi nilainya. Seharusnya bagi kita memadam fikiran (persepsi) negatif dalam benak fikiran diri, terhadap mereka.

Berilah mereka peluang dalam jangka masa tertentu, jangan terlalu singkat mahupun terlalu lama. Hal ini kerana perubahan peribadi, perwatakan seseorang itu, memerlukan masa untuk mereka melakukan perubahan sikap diri. Jika terlalu lama masa yang diberi, perubahan masih tidak nampak, itu menunjukkan mereka memerlukan bimbingan daripada orang lain untuk membimbing mereka. (Janganlah orang yang awalnya nak bimbing orang, tapi akhirnya diri sendiri yang terpengaruh dengan jejak langkah buruk).

Sebagai masyarakat yang terasuh dengan nilai keIslaman kita seharusnya sentiasa membimbing mereka, memberi kata-kata semangat kepada mereka untuk melakukan perubahan peribadi ke arah yang lebih baik. Jangan sekali-kali mematahkan, membunuh semangat perubahan kebaikan juga memberitahu mereka; "ah tak payahlah kau pura-pura tunjuk lagak baik, kalau dah penjenayah tu, penjenayah jugak!" Hal ini secara tidak langsung kadangkala akan menjadikan mereka melakukan perbuatan jenayah yang lebih buruk daripada sebelumnya, jika mereka tidak kuat sikap tabah, juga iman di dadanya.

Seseorang yang pernah melakukan kesilapan juga seharusnya sedar bahawa kesalahan yang pernah dilakukannya bukanlah mudah untuk dilupakan khasnya jika kesalahan yang dilakukan itu berat. Dirinya perlu memekakkan telinga (pekak badak) bilamana mendengar orang mengata mengenai diri. Ingat bahawasanya orang (manusia) jika kita tak layan kebiasaannya akan senyap juga akhirnya! Jika terus mengambil berat tentangnya perkara yang sebaliknya akan berlaku!

Sebagai hamba yang lemah sememangnya tak dapat dinafikan sukar bagi seseorang untuk menerima orang yang pernah berpelakuan buruk dalam kehidupan seharian. Namun perlu diingat pepatah "belakang parang kalau diasah akan tajam juga " (ada la kaitan sikit-sikit, walaupun tak begitu tepat, sesuai huhuhu).

p/s: Seorang itu boleh berubah jika dia istiqamah (bersungguh-sungguh, berazam) untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan jika dirinya mengkehendakinya. Bak kata pepatah "hendak seribu daya tak hendak seribu dalih". Lihatlah, rujuklah dan jadikanlah sifat Allah yang Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya sebagai salah satu sifat yang tertanam dalam diri kita ini.

Ya Allah jadikanlah kami umat Islam, umat yang sentiasa mengambil berat terhadap saudara- saudara kami. Ya Rahman, Engkau tabahkanlah semangat mereka yang ingin berubah dari keburukan ke arah kebaikan.

Pinjam atau Gunapakai?


Alhamdulillah sekarang internet dah ada balik dalam bilik, tapi laptop plak ada masalah sikit, tapi syukur dapat juga update blog hari ini InsyaAllah.

Dalam kehidupan kita hari ini, kita seringkali salah faham terhadap banyak konsep, antara yang seringkali terjadi adalah konsep pinjam.

Pinjam bagiku dapatlah ditakrifkan sebagai menghantar kembali sesuatu perkara itu dalam keadaan asal tanpa berlakunya kekurangan, terjejas, pertukaran sesuatu barang.

Ramai juga dikalangan kita yang menggunakan istilah pinjam ini ketikamana mereka ingin menggunakan sesuatu milik orang lain. Hal yang paling menarik yang seringkali berlaku; pinjam duit, kalau diikutkan takrif pinjaman sememangnya salahlah penggunaannya. (yer la takkan di waktu anda memulangkan barang yang dipinjam itu, anda menggunakan wang yang sama dipinjam dari seseorang itu kan!).

Jadi adalah lebih tepat rasanya jika ingin menggunakan sesuatu milik seseorang itu, jika barangan itu terjejas, perkataan yang lebih sesuai adalah 'pakai, guna' dan yang sama seerti dengannya kerana itulah yang lebih tepat.

Namun jika dilihat dalam masyarakat hari ini, penerimaan masyarakat yang menyamakan konsep pinjam dengan pakai ini, tidaklah menjadi satu permasalahan. Tapi bagiku, kalau seseorang itu menggunakan istilah 'pinjam' ketikamana mereka hendak menggunakan sesuatu milik orang lain, jika barangan tersebut jenis yang terjejas zat khususnya, maka rasanya perlulah diganti dengan nilai yang sepatutnya. (kan kata pinjam; kalau pinjam perlulah pulangkan balik dalam keadaan yang sama sepertimana dalam keadaan asal sebelum dipinjam!).

Rasanya disebabkan kesalahfahaman dalam membezakan di antara pinjam dengan pakai inilah yang menyebabkan, kadangkala berlakunya perasaan tidak puas hati di kalangan golongan tertentu, kerana pada andaian mereka; kalau nak pinjam sesuatu barang itu mestilah ganti, bayar nilainya! Jadi seeloknya diperbetulkan penggunaan istilah pinjam dengan pakai ini, bagi mengelakkan konflik.

Jika diikutkan dalam konsep bahasa Melayu juga ianya adalah bercanggahan. Janganlah dirosakkan bahasa kita dengan pemahaman yang salah terhadap sesuatu istilah, kerana ianya secara tidak langsung menunjukkan jati diri (pendirian, pemahaman) kita yang tidak tetap terhadap sesuatu perkara.

p/s: elakkan diri dari perkara yang merosakkan bahasa. "Bahasa jiwa bangsa".

bahasa melayu Pictures, Images and Photos Bersama memartabatkan bahasa, disamping tidak mengenepikan bahasa lain, kerana mempelajari banyak bahasa itu tidak merugikan diri sebaliknya menguntungkan diri!

Ya Allah berikanlah kami kefahaman yang baik terhadap sesuatu perkara, jadikanlah pemikiran kami, aqal yang mampu membezakan di antara yang haq dengan yang bathil.

Sukarnya Meluah dan Memendam Rasa

Entah kenapa tiba-tiba terlintas di benak fikiranku untuk menulis perkara sebegini, mungkin kerana situasi semasa yang menyebabkanku turut hampir terjebak dalam kancah 'memendam rasa'. Kali ini, ku akan cuba merungkai, mencungkil perasaan terhadap seseorang yang berbeza jantinanya dari diri. Mungkin perkara ini bakal mendapat percanggahan pendapat jika tidak diteliti, difahami dengan sebaiknya.

Sememangnya rasa cinta, ingin dikasihi itu wujud dalam diri seseorang yang 'sihat' nalurinya kerana ianya merupakan fitrah yang dikurniakan Ilahi pada setiap makhluk yang diciptakannya. Lihat sahajalah kejadian alam ini, setiap makhluk dijadikan berpasang-pasangan, lelaki dengan perempuan, betina dengan jantan, contohnya Nabi Adam a.s. dengan Saidatina Hawa r.a., binatang, pokok yang hampir keseluruhannya naluri 'keinginannya' terhadap lawan jenis jantinanya.

Pendam perasaan terhadap seseorang itu amat menyakitkan, menyeksakan diri seorang yang menahan perasaannya; angau, bertepuk sebelah tangan. Tapi jika diluahkan juga risiko mengalami sejenis penyakit antaranya 'gila bayang' jika tak nampak dalam sehari hati rasa begitu resah sekali! Kredit telefon boleh habis digunakan ke arah yang tidak sepatutnya, sudahlah pakai duit yang diberi ibubapa, biasiswa, pinjaman digunakan pula perbelanjaan kewangan ke arah yang tidak sepatutnya. Seringkali orang yang dah kemaruk dibuai cinta ini, memberi perbelanjaan kepada orang yang bukan di bawah tanggungan dirinya; membeli pakaian untuk pasangan, kiranya sudah jadi pasangan suami isteri yang sah, padahal masih belum wujud hubungan yang sedemikian rupa.

Pendam rasa ini kadangkala menyebabkan diri jadi tak keruan jika keimanan, kesabaran yang teguh ditanam dalam diri individu yang mengalaminya. Jika diluah perasaan khasnya pada perempuan, kadangkala akan berlaku satu perasaan yang agak bahaya; 'gila perhatian'. Jenis sebegini akan membuatkan mereka sentiasa ingin diberi perhatian. Jika tidak mulalah di benak fikiran mereka yang memikirkan bahawa pasangan mereka ini, mesti ada orang lain, sudah tidak setia lagi dan macam-macam lagi persepsi negatif lain yang mungkin timbul. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pelbagai tindakan negatif yang mungkin diambil jika tidak didasari kesabaran yang tinggi; mengambil dos ubat-ubatan secara berlebihan, tindakan bunuh diri.

Demikianlah sukarnya jika diluah dan dipendam perasaan cinta terhadap seseorang yang anda diri anda minati. Bak kata pepatah "diluah mati emak, ditelan mati bapa". Jadi rasanya lebih baik mencari alternatif yang selari dengan kehendak agama Islam; masuk meminang (dalam tempoh ini pasangan bertunang diberi peluang untuk berjumpa dengan syarat bertemankan muhrim wanita (orang yang diharamkan berkahwin dengan wanita tersebut, punyai hubungan kekeluargaan yang rapat). Tapi perlu diingat jika ingin berjumpa perlulah teman yang dipilih itu bukan adik yang masih tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah (kecil, satu kepala, bersubahat!), tempat yang dipilih mestilah di tempat awam jangan di tempat yang tersembunyi (nanti lain pula jadinya!). Kadang-kadang kaedah menggunakan orang ketiga boleh digunakan khidmatnya dalam mengawasi, mendapatkan maklumat mengenai orang yang diminati diri, tapi orang yang dipilih mestilah bukan musuhnya yang nyata, juga orang yang terlalu rapat dengannya kerana maklumat yang diperoleh bakal menguntungkan sebelah pihak!

Kiranya bagi individu yang masih belajar, perlulah mencintai ilmu pengetahuan terlebih dahulu, tambah, kejar, timbalah ilmu pengetahuan ketika diri masih mempunyai masa untuk mendapatkannya! Janganlah jadi seperti kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah anda akan menyesalinya di kemudian hari! Beringatlah sebelum terkena! Jangan jadi sepertimana pepatah "sudah terhantuk baru terngadah"!

digalakkan merujuk

p/s: jadikanlah buku sebagai teman, buku itu akan setia, tidak akan berpaling dari anda jika anda menyayangi, menghargainya!

Ya Allah, berikanlah kepada kami ketabahan dalam mengejar ilmu pengetahuan ini, jadikanlah cinta kami terhadap ilmu pengetahuan yang akan membuatkan diri kami makin hampir dengan cinta AgungMu ya Rahman

Bukan tak Mahu bertegur-sapa

huh kerap jugak berlaku bila orang tegur, dia rasa macam dirinya tak dilayan atau bila berjumpa dengan seseorang yang kiranya sebagai kenalan jugak la, tapi kita tak menegurnya.hmmm.... susah gak ye!

Kadang-kadang bagi seseorang itu bukannya tak mahu tegur, tapi dia melihat pada situasi kenalannya tu, tengah bercakap ke,(kan nanti ganggu pulak orang, hilang, lupa plak apa yang nak diberitahu pada individu yang dirinya sedang bercakap ketika itu! kalau mengumpat tak kisah la jugak kan kalau lupa pun apa yang nak diumpatkan, kurang la sikit dosa mereka tu! ) jumlah komuniti orang di kawasan tersebut (kalau ramai jenis jantinanya pulak yang berbeza takkan nak tegur kot, nanti ada la yang kemungkinan katakan; tu pakwe atau makwe kamu ke? ada gak yang mungkin kata ' eii! gatal betul la mamat ni! huh jatuh aib! niat baik nak bertegur-sapa lain pula jadinya, yang paling tak best (memalukan) bila kawan-kawan ditepi kenalan kita yang ditanya siapa tu? kenalan kita jawab tah mamat mana la yang miang- argh.... malunya).

Yang tak berapa best gak bilamana seseorang tegur dikatakan kita tak layan padahal dah jawab melalui senyuman, gerak-geri (bahasa badan) tapi dia tak perasan plak atau tak faham. Nanti ada la yang mengata di belakang (mengumpat); sombong betul dia tu.. aku tegur langsung tak jawab.

Susah gak bila fikir tentang hal yang rasanya memang remeh-temeh ni, jika ia dijadikan penyebab wujudnya sengketa.

Rasanya dalam hal tegur-menegur perlu dilihat keadaan seseorang, jangan cepat membuat tanggapan negatif. Kadang-kadang ada yang tengah sibuk, marah, pening memikirkan sesuatu perkara jadi mereka mempunyai alasan tersendiri. Perlulah diingat tanggapan negatif akan merosakkan individu, dan jua masyarakat dan pihak lain yang terlibat.

Ingat plak peribahasa; rambut sama hitam, hati lain-lain.

p/s: bukan mudah nak menjaga hati semua insan, kadangkala ada yang kita fikirkan betul dia berpendapat itu adalah salah, tapi bila kita rasa sesuatu perkara itu salah dia merasakannya betul. (isk isk isk geleng Pictures, Images and Photos pening-pening!)

Ya Allah jadikanlah hubungan kami sesama muslim kekal sehingga ke akhirnya, janganlah diputuskan perhubungan yang terbina di antara kami sesama Muslim.

Aku bukan yang terbaik!

Seringkali diri merasakan apabila adanya orang lain yang ingin mengangkat diri menjadi imam, lalu wujudlah rasa "aku bukan yang terbaik".

Disebabkan perasaan itu membuatkan diri rasa tidak layak untuk memimpin orang lain dalam solat khususnya. Walaupun diri telah mencuba seboleh mungkin untuk menjadi yang terbaik, namun tetap ada perasaan "aku bukan yang terbaik". Hal ini mungkin disebabkan apabila mengingatkan akan kelemahan diri dalam menghadapi ujian dari Ilahi dan faktor lain-lain lagi.

Entah bila agaknya keadaan ini akan berterusan ke atas diri, mungkin bila berakhirnya, beberapa perkara ke atas diri, Wallahu 'a'lam.

Diri betul-betul mengharapkan agar orang lain jangan terlalu memaksa diriku untuk menerima sesuatu perubahan dengan secara terpaksa, memberi tanggapan yang salah terhadapku, kerana dengan itu aku bimbang akan lebih menjadi parah keadaannya nanti. Diri akan cuba sebaik mungkin untuk menerima, menukar beberapa perkara yang dirasakan perlu.

Ini adalah luahan hati seorang insan!Harap jangan ditanya siapa gerangannya dan tidak membacanya di hadapanku, kerana keadaan ini akan mengingatkan diri terhadap seseorang!

Ya Allah janganlah Engkau bebani hamba-Mu ini dengan bebanan yang tidak terdaya kami hadapinya, Ya Rahman Engkau tabahkanlah hati kami, Engkau kuatkanlah iman kami Ya Allah...

 
Dibawah Pantauan Blogger | Hakcipta Terpelihara Rumzan | Khas Buat RumzanGanung © 2009 | Resolution: 1024x768px | Gunakan: Google Chrome | Top