Anda Mahu Berzina?


Maksudnya: “Daripada Abi Umamah, bahawa ada seorang pemuda datang kepada Rasulullah s.a.w, seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk melakukan zina”. Maka sejumlah orang terus menghampiri pemuda itu dan memarahinya, lalu mereka berkata, “Diam kamu!” Maka berkatalah Rasulullah s.a.w, “Dekatkanlah pemuda itu (kepadaku)”. Lalu baginda berkata kepadanya, “Duduklah!” Maka pemuda itupun duduk. “Apakah kamu suka seseorang berzina dengan ibumu?” Tanya Rasulullah s.a.w. Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai tebusanmu”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Begitu pula orang lain, tidak ada yang suka ibunya berzina dengan orang lain”. “Apakah kamu suka seseorang berzina dengan anak perempuanmu?” tanya Rasulullah s.a.w. pemuda itu menjawab, “Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai tebusanmu”. Rasulullah s.a.w bersabda, “Demikian juga orang lain, tidak ada yang suka anak perempuannya berzina”. “Apakah kamu suka seseorang berzina dengan saudari perempuanmu?” Tanya Rasulullah s.a.w. Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai tebusanmu”. Rasulullah s.a.w berkata, “Begitu pula orang lain, tidak ada yang suka saudari perempuannya berzina dengan orang lain”. Apakah kamu suka seseorang berzina dengan saudara perempuan ayahmu?” tanya Rasulullah s.a.w. Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai tebusanmu”. Rasulullah s.a.w bersabda, “Begitu juga orang lain, tidak ada yang suka saudara perempuan ayahnya berzina dengan orang lain”. “Apakah kamu suka seseorang berzina dengan saudara perempuan ibumu?” tanya Rasulullah s.a.w. Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, tidak. Semoga Allah menjadikanku sebagai tebusanmu”. Rasulullah s.a.w berkata, “Demikian juga orang lain, tidak ada yang suka saudari ibunya berzina dengan orang lain”. Lalu Rasulullah s.a.w meletakkan tangan baginda ke atas tubuh pemuda itu dan berdoa: “Ya Allah ampunilah dosa-dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya”. Perawi berkata, “Setelah kejadian tersebut, pemuda itu tidak lagi menoleh kepada sesuatu apapun (yang diharamkan)”. (al-Musnad Ahmad, no. 22,112, sanadnya sahih).


P/s: Jika kita tak mahu sesuatu itu terjadi pada diri kita, orang lain sama juga sebagaimana kita.


Ya Allah, peliharalah diri ini daripada melakukan perkara-perkara yang mampu merosakkan kami, jagalah pandangan, kemaluan kami daripada perkara keji yang menyebabkan kami menjadi di kalangan mereka yang menyesal di kemudian hari!

Antara Dilema Individu

Alhamdulillah syukur pada kali ini, penulis rasakan sudah lama tidak ditulis sesuatu penulisan yang lebih berbentuk santai, seperti penceritaan. Kali ini, ingin sekali untuk diri menceritakan beberapa pengalaman dari beberapa dilema yang dihadapi oleh individu-individu yang mungkin juga dialami oleh pembaca-pembaca artikel ini. Ini bukanlah untuk menunjukkan ianya seperti luahan ‘syok sendiri’. Namun, ianya dilihat penulis amat melegakan jika permasalahan ini dirungkai dan dikongsi bersama. Walaupun tiada hujah dari mereka yang pakar (nota kaki), tetapi menurut penulis pengalaman beberapa individu sememangnya sudah cukup untuk membuatkan ianya benar-benar terjadi (realiti).

Perkara pertama ialah seringkali kita merasakan sesuatu itu baik untuk kita, maka kita cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya. Sedangkan ianya bukanlah baik dari sudut pandangan Allah, maka hal itu walau bagaimanapun usaha diri dilakukan, tetap tidak akan terjadi jika tidak dikehendaki-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 ; “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Ada di kalangan individu yang dilihat cukup mendesak untuk diberikan petunjuk oleh Allah (melalui istikharah), tetapi keadaannya pada masa sekarang, masih tidak ada (mempunyai) jawapan. Ianya mungkin kerana, belum sampai masanya (seru). Oleh itu sentiasalah berfikir positif, agar diri tak terasa tertekan untuk mendapatkan jawapan. Janganlah memberatkan diri untuk mendapatkan ‘lampu hijau’ dari Pencipta.

Kedua, ada juga yang bila melihat kepada masyarakat sekeliling, maka akan membuatkan diri begitu terbeban dengan pelbagai gejala yang melanda masyarakat. Kadangkala, sehingga membuatkan diri bercelaru untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang wujud. Memang sewajarnya bagi seorang khalifah yang bertanggungjawab memurnikan alam ini, perlu ada rasa tanggungjawab dalam diri. Namun, janganlah kerana permasalahan yang melanda masyarakat membuatkan diri seperti putus harapan untuk hidup, sehingga membuatkan diri untuk membunuh diri (jika tiada iman). Allahuakbar!

Ketiga, ada juga yang bila diri diuji dengan sesuatu ujian. Perasaan diri mulai merasa ragu akan kebenaran agama yang dianuti sekarang (Islam). Lebih malang lagi bagi mereka yang mengambil jalan singkat; murtad. Maha Suci Allah amatlah buruk tindakan ini. Sedangkan jika dilihat dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 214, ada dinyatakan Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.

Keempat, ada juga yang merasakan diri keseorangan (tanpa cinta). Cemburu bila melihat semua orang sudah ada yang berpunya (menurut persepsinya; orang bercinta, aku pun nak juga!). Lalu wujudlah di kalangan mereka ini, yang mula menyemai bibit-bibit cinta, menjalin perhubungan yang tidak sah dari sisi Syarak. Maka hasilnya, segala kemahuan pasangan didahulukan, biarpun maruah diri tergadai! Na ‘uzubillah! Cukup banyak kejadian ini berlaku pada masa kini. Jika tidak, masakan statistik ‘anak tanpa bapa’ meningkat sepertimana yang dilaporkan oleh media-media massa! Ada juga yang penulis lihat, antara pasangan yang belum mempunyai ikatan yang sah ini, berkongsi duit untuk membeli sesuatu, seperti kamera digital (yang harganya dalam RM 3000 lebih), malah kereta mahupun lainnya. Perkara ini jika dilihat daripada sudut agama, sememangnya tidak sepatutnya berlaku. Dari segi logiknya; cuba bayangkan sewaktu diri bercinta, sehingga satu masa, hubungan terputus di tengah jalan! Bagaimana perasaan diri? Mungkin ada yang kecewa, bahkan yang lebih pasti, ianya merugikan diri sendiri!

Penulis rasa tertarik untuk membawa mesej Syeikh Riyad Ouarzazi (seorang Imam di Kanada) kepada pemuda yang disampaikan beliau sewaktu JALSAH ILMIYYAH QURANIYYAH, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, baru-baru ini (29 Mac 2011).

4 mesej utama dinyatakan beliau; Pertama, Apa tujuan penciptaan diri? Kedua, Siapa kawan anda? Ketiga, Banggakah dengan agama, diri? Keempat, Taatkah kepada ibubapa?

Demikianlah pesanan yang penulis mampu kongsikan, moga ianya mendatangkan manfaat untuk diri kita semua. Bersama-sama kita membetulkan apa yang salah, menjauhkan diri dari segala perkara yang munkar dan tiada manfaat, InsyaAllah!

P/s: Diri ini bukanlah terbaik, tetapi cuba untuk menjadi terbaik!

Ya Allah, kami inginkan agar Engkau membimbing diri ini sentiasa ke arah hamba yang mendapat keredhaan-Mu!

Tip Bagi Mereka Yang Sukar Solat Subuh

Ramai di kalangan umat Islam yang agak liat untuk bangun dikala menjelangnya Subuh. Padahal seseorang yang bangun mengerjakan solat Subuh secara berjemaah (tentunya), banyak ganjarannya yang bakal diperoleh dari Allah s.w.t., lebih-lebih lagi mereka yang menunaikan sembahyang Isyak secara berjemaah pada malamnya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, difahami mereka yang melaksanakan kedua-duanya seumpama mengerjakan solat semalaman penuh.

Oleh kerana itu, tercetus di hati penulis untuk berkongsi beberapa panduan (yang diambil dari beberapa rujukan) bagi seseorang yang agak sukar bangun awal mudah-mudahan ia dipraktikkan dalam kehidupan kita InsyaAllah!

1.Tidur awal


Dari fenomena yang dilihat kebiasaannya mereka yang tidur sebelum Isyak, di waktu malamnya, dia akan menjadi malas dan lemah.

Apa yang membuatkan dimakhruhkan berbual-bual sesudah solat Isyak adalah untuk urusan-urusan yang tidak mendatangkan faedah. (Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid, Syaikh Murid al-Kullab.2009. Hlm. 10).

*Perbuatan tidur selepas Asar dan Maghrib mampu membuatkan seseorang itu tidur lewat!

2. Niat yang tulus dan tekad yang kuat untuk bangun Solat Subuh (sebelum tidur) ('Imad Ali Abdus Sami Husain. 2006. Hlm. 90)

Seseorang yang tidak kuat tekadnya untuk bangun, walaupun dikejutkan berkali-kali akan terjaga saat itu sahaja, setelah kawannya meninggalkan dirinya sendiri, dia akan kembali menyambung tidurnya. (Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid, Syaikh Murid al-Kullab.2009. Hlm. 36).

3) Bersungguh-sungguh dalam bersuci dan berzikir sebelum tidur

*Tambahan terjemahan* (Setelah itu aku berkata, "Aku akan menghafalnya", 'Wa birasulikallazi arsalta'. Namun baginda membetulkan, 'Wa binabiyyikallazi arsalta'.

Sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Hajar, Imam al-Nawawi menyatakan 3 sunnah yang terkandung dalam hadith ini. Pertama, berwudhuk sebelum tidur, kalau masih mempunyai wudhuk sudah memadai, kerana maksud (yang dikehendaki ketika) tidur adalah (dalam keadaan) suci. Kedua, tidur dalam keadaan mengiring ke kanan. Ketiga, menutup (pembicaraan) dengan berzikir (ingat Allah). (Ibn Hajar, 1996. Hlm. 175)

4) Berzikir kepada Allah s.w.t. ketika bangun

(Surah al-Ahzab, 33)

5) Meminta bantuan keluarga atau orang soleh untuk mengejutkannya dari tidur supaya solat

(Surah al-'Asr, 103)

6) Menggunakan peralatan-peralatan yang boleh mengejutkan dari tidur seperti jam loceng, telefon.

Letakkan jauh daripada diri agar tidak mudah dicapai dan waktunya jangan terlalu jauh dari waktu Subuh kerana berkemungkinan akan tidur semula.

7) Tidak terlalu banyak makan sebelum tidur

Makan yang banyak sebelum tidur akan menyusahkan badan. Timbul rasa gelisah, juga mengganggu kesihatan. Lama-kelamaan berat badan pun bertambah, susah bergerak, malas dan akhirnya tidak mampu bangun di waktu Subuh. (Dr.Raghib al-Sirjani. 2008. Hlm. 132). Minuman yang berkafein juga hendaklah dijauhi saat malam.

8) Tidur Qailulah di siang hari

9) Jangan tidur bersendirian (jauh dari tempat orang ramai)

Seseorang yang tidur bersendirian akan mudah terlelap dan dia tidak akan memiliki teman yang dapat membangunkannya untuk solat. (Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid, Syaikh Murid al-Kullab.2009. Hlm. 32).

10) Memercikkan air di wajah orang yang tidur

Untuk melakukan ini, seseorang itu perlu bijak, jangan dengan cara yang salah yang boleh mencetuskan rasa marah dan kekeruhan dalam rumah tangga. Suka diingat renjis sahaja, jangan disimbah! :)

11) Menyalakan lampu saat terjaga

Cahaya lampu yang cerah kebiasaannya membantu mengelakkan tidur yang lena, kerana silauannya yang menyilaukan mata.

12) Tekad yang kuat untuk bangun

Setelah sedar jangan dilengah-lengahkan untuk bangun, perlu cergas (lompat dari katil yang empuk!) Ketahuilah bahawasanya tempat tidur Rasulullah s.a.w. dibuat daripada kulit binatang yang dipenuhi sabut. (al-Tirmidhi. T.th. Hlm. 269).

13) Memperbanyakkan amalan kebaikan di siang hari

(Surah Muhammad 47)

Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa!

Seseorang yang bangun awal pagi seterusnya menunaikan solat Subuh mengalami 3 perubahan yang penting: (Yusuf al-Hajj Ahmad. 2010. Hlm. 142).

  1. Bersedia menyambut kedatangan siang tepat pada waktunya, sehingga mampu menurunkan aktiviti kelenjar pineal, mengurangkan penghasilan melatonin dan mengaktifkan sistem-sistem lain yang berkaitan dengan siang.
  2. Berakhirnya dominasi sistem saraf parasympathetic yang tenang di malam hari, dan bermulanya aktiviti sistem saraf sympathetic pada siang hari.
  3. Bersiap menggunakan tenaga yang dimasukkan secara melimpah oleh ketinggian kadar cortisol di pagi hari. Kenaikan yang sama dialami oleh hormon serotine dalam darah juga adrophine.

Menurut Lukman Hakim, waktu Subuh merupakan saat terapi paru-paru. Ini sesuai dengan waktu pagi hari kerana pada saat itu udara masih bersih. Ia mampu membersihkan paru-paru dari sisa-sisa oksigen yang kita hirup pada malam hari. (Lukman Hakim Saktiawan. 2007. Hlm. 154-155).

P/s: Haruslah diingat apa yang dikejar seharusnya bukanlah kelebihan yang terkandung dari tindakan yang dilakukan, sebaliknya kerana memenuhi suruhan Allah semata-mata. "Sesungguhnya setiap sesuatu amalan bergantung pada niat".

Ya Allah berikanlah kepada kami hidayah-Mu, permudahkanlah urusan kami untuk bangun di pagi hari demi memenuhi tuntutan-Mu, berikanlah juga kepada kami kekuatan untuk solat berjemaah di setiap waktu.


Rujukan Penuh:

Al-Qur'an al-Karim

Abi Dawud, Sulaiman bin al-Ash 'ath al-Sajastani al-Azdiyy. 1999. Sunan Abi Dawud. Tahqiq: Dr. 'Abdul Qadir 'Abdul Khair, Dr. Sayyid Muhammad Sayyid, Sayyid Ibrahim. Jil. 2. Qaherah: Dar al-Hadith.

Ahmad bin Hanbal. 1994. Al-Musnad. Jil. 2 (3548-7140). Makkah: Dar al-Fikr.

Al-Bukhari, Abi 'Abdillah Muhammad bin Isma'il bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Ju'fi. 2008. Al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah s.a.w. wa Sunanih wa Ayyamih. Jil 1-2,7-9. Lubnan: Dar al- Minhaj.

Al-Busiri, al-Shihab Ahmad bin Abi Bakr. 1983. Misbah al-Zujajah fi Zawa'id Ibn Majah. Tahqiq: Musa Muhammad 'Ali, Dr 'Izzat 'Ali 'Atiyyah. Jil. 2. Qaherah: Dar al-Kutb al-Islamiyyah.

Al-Tirmidhi, Abi 'Isa Muhammad bin 'Isa bin Surah. 1999. Al-Jami' al-Sahih wahua Sunan al-Tirmidhi. Tahqiq: Dr. Mustafa Muhammad Husain al-Dhahabi. Jil. 4. Qaherah: Dar al-Hadith.

Al-Tirmidhi, Abi 'Isa Muhammad bin 'Isa bin Surah. T.th. al-Shama'il al-Muhammadiyyah wa al-Khasa 'il al-Mustafawiyyah. Tahqiq: Sayyid bin 'Abbas al-Jalimi.Lubnan: Mu'assasah al-Kutb al-Thaqafiyyah.

Dr. Raghib al-Sirjani. 2008. Keajaiban Solat Subuh. Terj. Desmadi Saharuddin. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication.

Ibn Hajar, Abi al-Fadl Ahmad bin 'Ali bin Hajar al-'Asqalani. Fath al-Bari bi Sharh
Sahih al-Bukha
ri. Tahkik: Dar Abi Hayyan. Jil. 14. Qaherah: Dar Abi Hayyan.

Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari. Terj.Amiruddin, Amir Hamzah. Jil. 30. Indonesia: Pustaka Azzam.

'Imad 'Ali 'Abdus Sami' Husain. 2006. Keajaiban Sholat Subuh. Terj. Muhammad Syedayet.Indonesia: Wacana Ilmiah Press.

Lukman Hakim Saktiawan. 2007. Keajaiban Shalat Menurut Ilmu Kesihatan Cina. Bandung: Mizania.

Syaikh Muhammad Shalih al-Munajjid, Syaikh Murid al-Kullab. 2009. 21 Tip Bagi Yang Sukar Solat Subuh. Kuala Lumpur: Must Read Sdn Bhd.

Yusuf al-Hajj Ahmad. 2010. Sains Moden Menurut Perspektif al-Quran dan as-Sunnah. Terj. Eimedia Team. Johor Bahru: Jahabersa.

http://hadith.al-islam.com/



Adab Duduk dalam Majlis Ilmu

Hadith ini mengandungi anjuran untuk beretika dalam majlis ilmu dan mengisi tempat yang kosong dalam majlis tersebut sebagaimana galakan untuk mengisi saf (barisan) yang kosong dalam Solat. Tambah Ibn Hajar lagi, harus bagi seseorang untuk melalui depan orang lain selagimana tidak mengganggunya. Sekiranya dikhuatiri perbuatannya tersebut akan mengganggu orang lain, maka dia dianjurkan untuk duduk paling belakang sebagaimana yang dilakukan oleh orang kedua. Hadith ini juga mengandungi pujian bagi mereka yang rela bersesak-sesak untuk mencari kebaikan atau pahala (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).

Perkataan
فَاسْتَحْيَا
(orang kedua merasa malu-malu). Maksudnya, ia tidak mahu berdesak-desakan seperti yang dilakukan oleh orang yang pertama, kerana dia malu kepada Rasulullah dan dan orang ramai dalam majlis itu menurut pendapat al-Qadi Iyad. Sedangkan menurut riwayat Anas yang diriwayatkan oleh al-Hakim menunjukkan dia malu untuk meninggalkan majlis itu sepertimana tindakan orang yang ketiga (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).


فَاسْتَحْيَا اللَّه مِنْهُ
(Maka Allah pun malu kepadanya). Ertinya Allah tidak akan memberinya rahmat dan tidak pula akan menyiksanya (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).


فَأَعْرَضَ اللَّه عَنْهُ (Maka Allah pun berpaling daripadanya) atau murka kepadanya, iaitu kepada orang yang meninggalkan majlis bukan kerana suatu halangan jika dia adalah seorang Muslim, atau mungkin munafiq sehingga Nabi mengungkapkan kejelekannya atau mungkin perkataan Nabi فَأَعْرَضَ اللَّه عَنْهُadalah sebagai pemberitahuan atau doa (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).


Dalam hadith Anas disebutkan lafaz yang bermaksud Allah tidak memerlukan kepadanya. Hal ini menunjukkan bahawa perkataan itu adalah sebagai pemberitahuan. Adapun pengisbatan kemurkaan Allah hanya sebagai Muqabalah (perbandingan) atau Musyakalah (persamaan). Oleh kerana itu, lafaz harus ditafsirkan sesuai dengan keagungan dan ketinggian-Nya (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).

Fungsi pengisbatan adalah untuk menerangkan sesuatu secara jelas. Hadith itu juga membolehkan untuk mengkhabarkan keadaan orang-orang yang berbuat maksiat dengan maksud mencela perbuatan tersebut. Hal ini tidak termasuk ghibah (mengumpat) (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).

Hadith ini menerangkan tentang keutamaan orang yang mengikuti majlis ilmu dan majlis zikir, serta duduk bersama orang yang berilmu dan berzikir di dalam masjid. Hadith ini juga memuji orang yang malu dan duduk di belakang (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).

Pengajaran hadith: (Zahazan Mohamed, Mei 2008, 101 Kisah & Pengajaran daripada al-Quran dan al-Hadis & Hayatus Sahabah, hlm. 54-55).

  1. Seorang alim yang menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah muridnya di tempat yang boleh dilihat dengan jelas oleh semua orang.
  2. Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.
  3. Disunatkan membentuk halakah dalam majlis ilmu dan zikir.
  4. Makruh keluar dari dalam Masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.
  5. Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halakah agar dapat mendengar penerangannya dengan jelas.
  6. Seseorang yang ingin bergabung dalam halakah jika melihat ada tempat yang renggang hendaklah ia duduk di tempat tersebut, bukannya di belakang para jemaah.
  7. Harus memberikan pujian kepada seseorang yang berbuat kebaikan.
  8. Harus menceritakan tentang keburukan yang dilakukan seseorang secara terang-terangan.
  9. Orang yang terlebih dahulu menduduki suatu tempat dalam majlis ilmu maka jika ia kembali, dia lebih berhak untuk duduk di tempat tersebut.
  10. Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa mengganggu para hadirin yang sedia ada.
  11. Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Rujukan:

Ibn Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Imam Abi Abd Allah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari, jil. 1, pnysn. Muhammad Fu'ad Abd al-Baqi, Mujib al-Din al-Khatib, al-Maktabah al-Salafiyyah.

Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, jil.1, pterj. Gazirah Abdi Ummah, Jakarta: Pustaka Azzam.

Zahazan Mohamed, Mei 2008, 101 Kisah & Pengajaran daripada al-Quran dan al-Hadis & Hayatus Sahabah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

17 Perisai Syaitan (Kedua)

Agak lama rasanya tak memperbaharui kandungan blog. Berikut merupakan sambungan perisai diri untuk menghadapi Iblis la'natullah.


Perisai Kesebelas: Azan

Perisai Kedua Belas: Doa Masuk Masjid

Perisai Ketiga Belas: Doa Keluar Masjid

Perisai Keempat Belas: Wudhuk dan solat, samada ketika marah atau saat datangnya syahwat, semua itu akan memadamkan bara marah dan syahwat.

Perisai Kelima Belas: Mentaati Allah dan Rasulullah s.a.w., meninggalkan melihat yang lebih-lebih (usya-usya), cakap, makan dan lebih pergaulannya dengan orang (melampau).

Perisai Keenam Belas: Membersihkan rumah daripada gambar (makhluk hidup, khasnya yang digantung), patung-patung, anjing dan loceng-loceng.

Perisai Ketujuh Belas: Menjauhi tempat tinggal jin dan Syaitan seperti tempat-tempat najis, tempat buang sampah, tempat-tempat yang kosong daripada manusia seperti gurun, tepi-tepi pantai, tempat ternak unta dan sebagainya.


Segala rujukan adalah sepertimana berikut:

  1. ما يعتصم به العبد من الشيطان, mungkin karya yang ditulis oleh Ibnu Qayyim, bukunya mengenai sihir, tapi yang pastinya halamannya adalah bermula dari muka surat 392-395.

P/s: Moga apa yang dibawa ini memberi kita peringatan untuk kita menjadikan perisai diri daripada terjerumus dengan godaan Syaitan, InsyaAllah, sesungguhnya Syaitan telah berjanji dia akan berterusan menghasut anak Adam ke arah kefasadan.

Ya Allah berikanlah kami perlindungan daripada tipu daya Syaitan, janganlah kiranya kami terperangkap dalam godaan Iblis ini.



 
Dibawah Pantauan Blogger | Hakcipta Terpelihara Rumzan | Khas Buat RumzanGanung © 2009 | Resolution: 1024x768px | Gunakan: Google Chrome | Top