Adab Duduk dalam Majlis Ilmu

Hadith ini mengandungi anjuran untuk beretika dalam majlis ilmu dan mengisi tempat yang kosong dalam majlis tersebut sebagaimana galakan untuk mengisi saf (barisan) yang kosong dalam Solat. Tambah Ibn Hajar lagi, harus bagi seseorang untuk melalui depan orang lain selagimana tidak mengganggunya. Sekiranya dikhuatiri perbuatannya tersebut akan mengganggu orang lain, maka dia dianjurkan untuk duduk paling belakang sebagaimana yang dilakukan oleh orang kedua. Hadith ini juga mengandungi pujian bagi mereka yang rela bersesak-sesak untuk mencari kebaikan atau pahala (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).

Perkataan
فَاسْتَحْيَا
(orang kedua merasa malu-malu). Maksudnya, ia tidak mahu berdesak-desakan seperti yang dilakukan oleh orang yang pertama, kerana dia malu kepada Rasulullah dan dan orang ramai dalam majlis itu menurut pendapat al-Qadi Iyad. Sedangkan menurut riwayat Anas yang diriwayatkan oleh al-Hakim menunjukkan dia malu untuk meninggalkan majlis itu sepertimana tindakan orang yang ketiga (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).


فَاسْتَحْيَا اللَّه مِنْهُ
(Maka Allah pun malu kepadanya). Ertinya Allah tidak akan memberinya rahmat dan tidak pula akan menyiksanya (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).


فَأَعْرَضَ اللَّه عَنْهُ (Maka Allah pun berpaling daripadanya) atau murka kepadanya, iaitu kepada orang yang meninggalkan majlis bukan kerana suatu halangan jika dia adalah seorang Muslim, atau mungkin munafiq sehingga Nabi mengungkapkan kejelekannya atau mungkin perkataan Nabi فَأَعْرَضَ اللَّه عَنْهُadalah sebagai pemberitahuan atau doa (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).


Dalam hadith Anas disebutkan lafaz yang bermaksud Allah tidak memerlukan kepadanya. Hal ini menunjukkan bahawa perkataan itu adalah sebagai pemberitahuan. Adapun pengisbatan kemurkaan Allah hanya sebagai Muqabalah (perbandingan) atau Musyakalah (persamaan). Oleh kerana itu, lafaz harus ditafsirkan sesuai dengan keagungan dan ketinggian-Nya (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).

Fungsi pengisbatan adalah untuk menerangkan sesuatu secara jelas. Hadith itu juga membolehkan untuk mengkhabarkan keadaan orang-orang yang berbuat maksiat dengan maksud mencela perbuatan tersebut. Hal ini tidak termasuk ghibah (mengumpat) (Ibn Hajar, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 1, hlm. 157).

Hadith ini menerangkan tentang keutamaan orang yang mengikuti majlis ilmu dan majlis zikir, serta duduk bersama orang yang berilmu dan berzikir di dalam masjid. Hadith ini juga memuji orang yang malu dan duduk di belakang (Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pterj. Gazirah Abdi Ummah, jil.1, hlm. 295).

Pengajaran hadith: (Zahazan Mohamed, Mei 2008, 101 Kisah & Pengajaran daripada al-Quran dan al-Hadis & Hayatus Sahabah, hlm. 54-55).

  1. Seorang alim yang menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah muridnya di tempat yang boleh dilihat dengan jelas oleh semua orang.
  2. Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.
  3. Disunatkan membentuk halakah dalam majlis ilmu dan zikir.
  4. Makruh keluar dari dalam Masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.
  5. Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halakah agar dapat mendengar penerangannya dengan jelas.
  6. Seseorang yang ingin bergabung dalam halakah jika melihat ada tempat yang renggang hendaklah ia duduk di tempat tersebut, bukannya di belakang para jemaah.
  7. Harus memberikan pujian kepada seseorang yang berbuat kebaikan.
  8. Harus menceritakan tentang keburukan yang dilakukan seseorang secara terang-terangan.
  9. Orang yang terlebih dahulu menduduki suatu tempat dalam majlis ilmu maka jika ia kembali, dia lebih berhak untuk duduk di tempat tersebut.
  10. Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa mengganggu para hadirin yang sedia ada.
  11. Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Rujukan:

Ibn Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, 1989, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Imam Abi Abd Allah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari, jil. 1, pnysn. Muhammad Fu'ad Abd al-Baqi, Mujib al-Din al-Khatib, al-Maktabah al-Salafiyyah.

Ibn Hajar, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, jil.1, pterj. Gazirah Abdi Ummah, Jakarta: Pustaka Azzam.

Zahazan Mohamed, Mei 2008, 101 Kisah & Pengajaran daripada al-Quran dan al-Hadis & Hayatus Sahabah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

0 Bila bijak pandai berbicara!:

 
Dibawah Pantauan Blogger | Hakcipta Terpelihara Rumzan | Khas Buat RumzanGanung © 2009 | Resolution: 1024x768px | Gunakan: Google Chrome | Top