Amalan Kasih Sayang Sesama Muslim

Bersatu teguh, bercerai roboh!

Pada hari ini, mimbar Jumaat membicarakan mengenai tajuk yang sedemikian rupa, mungkin kerana melihat kepada kesatuan umat Islam yang agak rapuh, saling bergaduh sesama mereka.

Sememangnya kasih-sayang sentiasa perlu berlaku di mana-mana, dalam keluarga, di antara suami dengan isteri, anak dengan ibubapa, juga sesama Muslim, tanpanya dunia mungkin akan porak-peranda (hakikatnya!)

Khatib membawakan hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud: "Tidak masuk ke dalam syurga sehingga engkau beriman dan belum sempurna keimananmu sebelum kamu sayang-menyayangi. Apakah kamu mahu aku tunjukkan satu pengajaran yang apabila kamu amalkan kamu akan sayang menyayangi? Semarakkan syiar, tanggungjawab salam di antara kamu" au kama qal.

Khatib juga ada membawa hadith yang agak biasa didengari daripada Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri" au kama qal.

Khatib mengharapkan agar hubungan silaturrahim dijaga supaya umat Islam disegani oleh bukan Islam. Khatib seterusnya membawa kisah kasih seorang musafir di padang pasir yang kontang, menyebabkan kegersangan, kehausan lalu dirinya mencari air, dicarinya air sehinggalah berjumpa dengan sebuah perigi yang dalam, namun cetek airnya, mencari gayung tetapi tidak didapati, akhirnya dia mencelup air dengan kasutnya selepas turun ke dalam perigi, tetapi apabila sampai ke atas dia melihat seekor anjing yang terjelir lidahnya kerana kehausan. Fikirnya jika tidak diberi air itu, nescaya akan mati anjing tersebut, dengan naluri kemanusiaan membuatkannya rela berkorban, demikianlah cerita khatib!

Khatib agak kecewa ketikamana berlaku sedikit pertelingkahan dalam keluarga sehingga menyebabkan putusnya hubungan kekeluargaan.

Khatib mengharapkan agar walau bagaimana sekalipun perhubungan silaturrahim tetap perlu dijaga, mengajak seseorang dengan cara yang baik, berhikmah. Demikianlah khatib mengakhiri khutbah pertama.

P/s: Umat Islam seharusnya mengamalkan pepatah yang berbunyi 'Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa'.

Ya Allah kukuhkanlah tali silaturrahim di antara kami.

0 Bila bijak pandai berbicara!:

 
Dibawah Pantauan Blogger | Hakcipta Terpelihara Rumzan | Khas Buat RumzanGanung © 2009 | Resolution: 1024x768px | Gunakan: Google Chrome | Top