Assignment HAMKA

Haji Abdul Malik bin Abdul Karim
ANTARA KATA-KATA BELIAU

Prof. DR Hamka atau nama sebenar beliau Haji Abdul Malik bin Abdul Karim merupakan seorang ulama yang berkaliber , penulis novel, ahli politik, wartawan, editor, dan penerbit di Indonesia. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 dan wafat pada 24 Julai 1981. Beliau berasal dari sebuah desa kecil Sungai Batang, di tepi danau Maninjau Sumatera Barat. Ayahnya Abdul Karim Amrullah atau Haji Rasul adalah seorang ulama, juga seorang penulis yang banyak menulis buku-buku. Berkenaan dengan Haji Rasul ayahandanya HAMKA, beliau dikenal sebagai pelopor gerakan Kaum Muda di MInangkabau kerana kegigihannya membanteras segala kepercayaan, perbuatan bid’ah dan khurafat yang berlaku dalam masyarakat waktu itu. Beliau juga berani melawan pemerintahan kolonial Belanda, sehingga ditangkap dan dibuang ke Sukabumi Jawa Barat dan meninggal di Jakarta 1945.

HAMKA mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar Meninjau hingga darjah dua. Setelah ayahnya mendirikan Sumatera Thawalib di Pandang Panjang ketika usianya 10 tahun, HAMKA mempelajari selok-belok agama dan mendalami bahasa Arab di situ. HAMKA juga sering mengikuti pengajaran agama yang diberikan oleh ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparanoto dann Ki Bagus Hidikusumo.

Dalam mendalami pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik, HAMKA lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan. Dengan, menguasai bahasa Arab, dia mampu menyelidiki karya-karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak (t.th.), Jurji Zaidan (t.th.), Abbas al-‘Aqqad (t.th.), Mustafa al-Manfaluti (t.th.) dan Husein Haikal (t.th.). di samping itu, dia turut meneliti karya sarjana seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee, Jean-Paul Sartre (qq.v), dan Karl Marx (1818-1883) bagi memperluaskan pengetahuannya.

HAMKA memulakan kerjayanya sebagi guru agama pada tahun 1927. di samping itu dia turut terlibat dalam gerakan Islam melalui pertubuhan Muhammadiyah. Pada masa itu juga HAMKA aktif dalam kegiatan politik dengan menganggotai Sarekat Islam, sebuah pertubuhan politik yang bergiat cergas di Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Mudmmadiyah. Dia juga pernah menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat (1928), editor dan penerbit majalah Al-Mahdi di Makasar (1932) serta editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Antara karya yang paling menonjol yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Di Bawah Lindungan Kaabah (1938), Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1939), dan Merantau ke Deli (1940). Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck merupakan karya HAMKA yang banyak diperkatakan oleh penyelidik. Novel Di Bawah Lindungan Kaabah ini yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada tahun 1938 diterima baik oleh masyarakat dan telah beberapa kali diulang cetak.

Karya sastera HAMKA dilihat terpengaruh dengan pujangga Mesir, al-Manfaluti. Selain itu, pada tahun 1960-an, timbul tuduhan terhadap karyanya Tenggelamnya Kapal van der Wijck sebagai plagiat daripada karya Al-phonse Karr (pengarang Perancis) yang telah disadur ke dalam bahasa Arab oleh al-Manfaluti. Hasilnya, timbul polemik yang cukup hebat, terutama daripada golongan yang cuba mengambil kesempatan untuk menjatuhkan HAMKA sebagai aktivis politik. Hal ini merupakan gejala kontroversi yang menunjukkan bahawa ketokohan HAMKA baik sebagai ulama mahupun sasterawan dan aktivis politik, sesungguhnya cukup mengakar pengaruhnya di kalangan masyarakat.

Disebabkan ketokohan HAMKA, Junus Amir Hamzah berasa perlu untuk mengumpulkan dan menerbitkan polemik tersebut pada tahun 1964 dengan judul Tenggelamnya Kapal van der Wijck dalam Polemik. Bahkan, setahun sebelumnya, iaitu pada tahun 1963, Junus Amir Hamzah telah menulis buku tentang novel-novel HAMKA dengan judul HAMKA sebagai Pengarang Roman.

Ketokohan yang menonjol inilah, khususnya dalam bidang keagamaan dan pengaruh HAMKA dalam masyarakat telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan politik Order Lama. Atas dasar ini, HAMKA dipenjarakan selama beberapa tahun. Namun demikian, ternyata, penjara bagi HAMKA memberikan hikmah yang tidak ternilai kepadanya. Selama di penjara, dia berhasil menyelesaikan Tafsir al-Azhar (5 jil.)

Memandangkan ketokohannya, HAMKA telah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Kehormat Universiti al-Azhar (1958). Doktor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (1974) dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia.

HAMKA kembali ke Rahmatullah pada 24 Julai 1981. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar bagi masyarakat Islam baik pada peringkat nasional dan antarabangsa. Walau bagaimanapun, dia telah meninggalkan jasa yang menjadi ingatan dan ikutan masyarakat Islam hingga ke hari ini.[1]


[1] http://id.wikipedia.org/wiki/Haji_Abdul_Malik_Karim_Amrullah

0 Bila bijak pandai berbicara!:

 
Dibawah Pantauan Blogger | Hakcipta Terpelihara Rumzan | Khas Buat RumzanGanung © 2009 | Resolution: 1024x768px | Gunakan: Google Chrome | Top